PENGENALAN
Garis Panduan Keselamatan Makanan Bagi Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food) ini disediakan khusus sebagai panduan kepada semua pengusaha makanan yang menyediakan makanan di rumah untuk tujuan jualan.
Amalan kebersihan makanan yang baik adalah amat penting untuk diamalkan oleh setiap pengusaha dan pengendali makanan. Elemen asas kebersihan dan kawalan dalam penyediaan makanan melibatkan fasiliti dan persekitaran, pemilihan bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan, pelabelan dan pengedaran makanan perlu dilaksanakan dengan berkesan.
OBJEKTIF
Garis panduan ini dibangunkan bagi mencapai objektif berikut:
a. Memastikan penyediaan makanan sediaan di rumah (home-based food) bagi tujuan jualan memenuhi keperluan amalan kebersihan dan keselamatan makanan.
b. Menjamin makanan sediaan di rumah (home-based food) tidak tercemar dan menyebabkan keracunan makanan kepada pelanggan.
c. Menyediakan satu panduan kebersihan dan keselamatan bagi makanan sediaan di rumah (home-based food) secara selamat.
PENYENARAIAN PENGUSAHA MAKANAN SEDIAAN DI RUMAH (HOME-BASED FOOD)
Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-based Food) ini diperkenalkan bagi menggalakkan pengusaha home-based food mengamalkan amalan kebersihan dan penyediaan makanan yang selamat seterusnya mematuhi keperluan perundangan semasa. Melalui penyenaraian ini, pengusaha home-based food mampu meningkatkan hasil jualan melalui penggunaan logo pada label produk yang dihasilkan, sekaligus meningkatkkan keyakinan pengguna.
Permohonan penyenaraian boleh dibuat dengan mengemukakan Borang Permohonan dan dokumen permohonan sokongan seperti slip pendaftaran premis (FoSIM), pelalian vaksin anti-tifoid, sijil Latihan Pengendali Makaan dari Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf, label makanan serta dokumen sokongan yang lain seperti dinyatakan dalam garis panduan. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke emel homebasedfood.bkkm@moh.gov.my atau hubungi talian 03-8885 0797.