Tahap kebersihan premis makanan yang tidak memuaskan serta meningkatnya laporan kejadian keracunan makanan telah mendorong KKM untuk meningkatkan lagi latihan kepada pengendali makanan. Ini juga disokong dengan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel 1998 pada bulan September 1998, di mana imej negara di mata dunia perlu dijaga.
Berdasarkan faktor dan beban kerja yang ditanggung, latihan pengendali makanan telah diswastakan dan dikendalikan secara lebih sistematik oleh tenaga pengajar yang diiktiraf. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Program Latihan Pengendali Makanan (LPM) pada tahun 1996 dengan mengiktiraf institusi swasta bagi menjalankan kursus asas dalam aspek kebersihan dan pengendalian makanan. Objektif Program ini ialah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada semua pengendali makanan mengenai aspek-aspek kebersihan dan keselamatan makanan, diri pengendali dan premis makanan dan seterusnya bagi mengurangkan kejadian keracunan makanan di seluruh negara. Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 telah diwartakan pada 28 Februari 2009 dengan mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Kursus LPM di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM. KKM bertanggungjawab sepenuhnya dalam aktiviti akreditasi dan pemantauan bagi SLPM dan tenaga pengajar.
Menerusi program ini modul latihan yang seragam untuk semua pengusaha dan pengendali makanan telah diwujudkan. Sesi latihan ini dikendalikan oleh SLPM yang diiktiraf oleh KKM di seluruh negara. Semua tenaga pengajar perlu menghadiri dan lulus penilaian Kursus Wajib Tenaga Pengajar sebelum layak mendapat pengiktirafan KKM sebagai tenaga pengajar.
Secara ringkasnya Program LPM melibatkan aktiviti seperti berikut :
- Akreditasi SLPM - Proses untuk mendapatkan pengiktirafan yang melibatkan institusi atau organisasi yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti latihan pengendali makanan kepada pengendali makanan yang terlibat di dalam penyediaan, penghidangan dan penjualan makanan.
- Kursus Wajib Tenaga Pengajar - Kursus yang perlu dihadiri bagi individu yang memohon melayakkan individu tersebut mendapatkan pengiktirafan sebagai tenaga pengajar
- Pengiktirafan Tenaga Pengajar - Proses yang melibatkan individu yang lulus kursus wajib sebelum mengajar dan mengendalikan kursus latihan pengendali makanan kepada pengendali makanan.
- Audit pemantauan dijalankan terhadap SLPM dan tenaga pengajar bagi memastikan SLPM dan tenaga pengajar yang telah diiktiraf beroperasi mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh KKM.
- Tindakan boleh dikenakan bagi mana-mana SLPM yang didapati gagal mematuhi syarat-syarat akreditasi yang telah ditetapkan seperti amaran, penggantungan dan penarikbalikan pengiktirafan.
KKM telah mengeluarkan Garis Panduan Skim Akreditasi Program Latihan Pengendali Makanan (LPM) sebagai panduan kepada semua SLPM dan tenaga pengajar yang diiktiraf serta individu yang berminat untuk menyertai skim akreditasi Program LPM. Garispanduan ini juga membantu memberi panduan kepada juruaudit semasa menjalankan proses pemantauan bagi SLPM dan tenaga pengajar.
- Muat turun Garis Panduan Skim Akreditasi Latihan Pengendali Makanan, Edisi Ke-5, Cetakan 2019 (kuatkuasa pada 1 September 2019) untuk maklumat lanjut.
- Muat turun laporan dan borang-borang berkaitan Latihan Pengendali Makanan di bawah: