Lain-Lain Bahasa Soalan Lazim Borang Kepuasan Pelanggan

Ucapan Perasmian Kursus Refresher Tenaga Pengajar Latihan Pengendali Makanan 

UCAPAN PERASMIAN 
PENGARAH PEMATUHAN DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI, BAHAGIAN KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN

  1. REFRESHER TENAGA PENGAJAR LATIHAN PENGENDALI MAKANAN (LPM)
    DEWAN AUDITORIUM KOMPLEKS E, PUTRAJAYA
    17 MEI 2012 (KHAMIS)

 

Yang berusaha Puan Pengerusi Majlis,

Yang dimuliakan Tuan-Tuan dan Puan-Puan, hadirin yang dihormati.

Selamat Sejahtera, Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia,

Pertama sekali saya ingin mengalukan-alukan kehadiran tuan/puan yang menyertai Kursus Refresher Tenaga Pengajar Program Latihan Pengendali Makanan yang julung kali diadakan oleh Kementerian ini. Terima kasih atas kesudian tuan/puan melapangkan masa bagi menghadiri kursus ini dan diharap tuan/puan akan dapat memanfaatkan segala informasi terbaru dan maklumat yang berkaitan yang akan disampaikan.

Objektif utama kursus refresher ini ialah bagi menyalurkan maklumat terkini kepada tenaga pengajar sedia ada dan juga tenaga pengajar yang baru diiktiraf di samping menekankan semula syarat-syarat dan keperluan Program Latihan Pengendali Makanan (LPM) yang dilaksanakan oleh Kementerian ini.

Kursus ini juga bertujuan bagi mempertingkatkan dan menambahbaik mutu serta kualiti pengajaran kursus Latihan Pengendali Makanan dengan peningkatan pengetahuan tenaga pengajar berkaitan isu-isu keselamatan makanan serta perkembangan semasa program Latihan Pengendali Makanan, di samping menyediakan medan interaksi antara Kementerian ini dengan tenaga pengajar.

Sebagaimana pihak tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang diwartakan pada 28 Februari 2009 mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Justeru, tidak dinafikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan memainkan peranan yang amat besar dalam melaksanaan peruntukan didalam Peratura-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Program Latihan Pengendali Makanan telah dilaksanakan sejak tahun 1996, bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada semua pengendali makanan dalam aspek kebersihan premis makanan, kebersihan diri dan pengendalian makanan yang selamat, yang seterusnya akan menyumbang kepada pengurangan kejadian keracunan makanan di seluruh negara.

Sehingga Mac 2012, seramai 706,633 orang pengendali makanan telah dilatih di seluruh negara oleh 134 buah SLPM yang telah diiktiraf oleh KKM. Jumlah ini masih jauh dari sasaran yang kerajaan tetapkan iaitu 2.5 juta orang pengendali makanan dilatih menjelang tahun 2020. Untuk tujuan itu pelbagai aktiviti telah dirancang dan telah atau sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran ini. Antara aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan adalah promosi keselamatan makanan dan kerjasama bersama agensi kerajaan umpamanya Kementerian Pelajaran Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menguatkuasakan Peraturan-Peraturan sediaada.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Sebagai badan kerajaan yang berperanan memastikan Program Latihan Pengendali Makanan yang dijalankan mencapai objektif dan misi penubuhannya, Kementerian ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelaras semua aktiviti di bawah Program ini, termasuk dari segi akreditasi Sekolah Latihan Pengendali Makanan, pengiktirafan tenaga pengajar, latihan dan juga pemantauan program Latihan Pengendali Makanan.Garispanduan Skim Akreditasi Program Latihan Pengendali Makanan yang telah dilancarkan pada 15 Jun 2011 merupakan Garispanduan yang dibangunkan khusus untuk memberi panduan kepada Sekolah Latihan Pengendali Makanan dan Tenaga Pengajar dalam menjalankan kursus Latihan Pengendali Makanan selaras dengan peraturan dan polisi Kementerian. Ini adalah bagi memastikan setiap pengendali makanan mendapat latihan yang berkualiti dan berkesan.

Adalah diharapkan dengan adanya garispanduan ini, tenaga pengajar dapat mengetahui dengan lebih jelas terutamanya syarat-syarat dan peraturan semasa mengendalikan program latihan pengendali makanan. Hasil daripada pemantauan yang dijalankan terdapat beberapa pelangaran syarat yang serious telah dikenal pasti iaitu menjalan latihan kurang dari 3 jam, kelas melebihi 30 perserta, menayangkan bahan-bahan yang tidak berkaitan, penampilan diri yang kurang sesuai dan kaedah penyampaian yang lemah (tidak kretif, eye contact, suara yang lemah). KKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keatas tenaga pengajar dan Sekolah Latihan Pengendali Makanan sebagaimana yang diperuntukkan dan dijelaskan dalamGarispanduan Skim Akreditasi Program Latihan Pengendali Makanan. Adalah diharapkan tenaga pengajar sentiasa mematuhi syarat dan polisi Kementerian ini dan mengelakkan berlakunya sebarang perlanggaran syarat yang telah ditetapkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, serta hadirin yang dihormati,

Kementerian ini juga sedang dalam usaha menambahbaik program Latihan Pengendali Makanan dari masa ke semasa. Bermula pada 1 November 2011 hingga 30 Jun 2012 tempoh penyelengaraan dijalankan bagi memberi ruang kepada Kementerian ini untuk memperkemaskan dan memperkukuhkan sistem yang sedia ada supaya dapat mempertingkatkan kualiti program ini.

Sukacita dimaklumkan bahawa semua aktiviti Program Latihan Pengendali Makanan akan berjalan seperti biasa dan permohonan pengiktirafan baru bagi Sekolah Latihan Pengendali Makanan dan tenaga pengajar akan dibuka semula mulai 1 Julai 2012. Justeru, mana-mana individu yang berminat boleh menghantar permohonan ke Jabatan Kesihatan Negeri berhampiran selepas tarikh tersebut.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, diharapkan melalui Kursus ini semua tenaga pengajar mendapat manfaat di samping menjalinkan hubungan yang baik sesama tenaga pengajar dan juga dengan pihak Kementerian. Selain itu, diharap kursus ini dapat menambahbaik interaksi dan komunikasi sedia ada agar semua pihak bekerjasama dalam mencapai objektif dan matlamat Program Latihan Pengendali Makanan.

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua tenaga pengajar yang hadir pada hari ini kerana sentiasa komited terhadap Program Latihan Pengendali Makanan yang dilaksanakan.

Akhir kata, diharapkan supaya tuan-tuan dan puan-puan dapat menjalankan aktiviti latihan secara bersih, cekap dan amanah sejajar dengan tuntutan dari pengiktirafan yang telah diberikan oleh Kementerian ini.

Dengan ini saya merasmikan Kursus Refresher Tenaga Pengajar Latihan Pengendali Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tahun 2012.

Sekian, terima kasih.

Modified: April 1, 2013 at 6:09 am