Lain-Lain Bahasa Soalan Lazim Borang Kepuasan Pelanggan

Skim Pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) 

PENGENALAN

Garis panduan ini memberikan panduan mengenai prosedur permohonan Skim Pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik / Good Manufacturing Practice (GMP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Permohonan untuk mendapatkan sijil ini adalah terbuka kepada semua jenis pengusaha premis makanan samada pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran makanan. Pemohon hendaklah melaksana dan mengamalkan semua elemen GMP yang terkandung di dalam buku Garis Panduan Amalan Pengilangan Yang Baik. Proses pensijilan melibatkan audit kecukupan, pematuhan dan pemantauan oleh juruaudit yang dilantik oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

OBJEKTIF

Objektif Skim Pensijilan GMP ini adalah untuk member pengiktirafan rasmi kepada premis makanan yang telah berjaya melaksana dan mengamalkan semua kriteria skim pensijilan GMP.

KRITERIA PERMOHONAN

Industri makanan yang memohon pensijilan GMP perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut:

  • Syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  • Premis mempunyai lesen atau kelulusan daripada kerajaan tempatan atau agensi kerajaan yang lain
  • Mempunyai manual GMP dengan kandungan minimum (lihat di bawah)
  • Program GMP telah dilaksanakan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum permohonan dikemukan.

PROSEDUR PERMOHONAN

Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan borang SGMP1-1/06.

Borang ini boleh diperolehi daripada:

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, atau
Jabatan Kesihatan Negeri.

Borang permohonan SGMP1-1/06 yang lengkap hendaklah dikemukakan bersama-sama dua (2) salinan manual GMP dan bayaran pemprosesan sebanyak RM130.00 (Ringgit Malaysia: Seratus dan Tiga Puluh Ringgit Sahaja) ke alamat berikut:

Pengarah Kanan
Keselamatan dan Kualiti Makanan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E7, Kompleks E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya.

TEMPOH SAHLAKU

Tempoh sahlaku sijil GMP adalah tiga (3) tahun daripada tarikh sijil dikeluarkan.

PEMBAHARUAN

Sijil perlu diperbaharui tiga (3) tahun sekali. Bagi tujuan pembaharuan, penilaian semula (reassessment) akan dijalankan ke atas premis. Pemohon perlu mengemukakan Borang Permohonan SGMP1-1/06 beserta Bayaran Pembaharuan Sijil.

PEMBATALAN SIJIL

Sijil akan terbatal dengan sendirinya sekiranya pemohon gagal mematuhi apa-apa syarat dan keperluan yang telah ditetapkan dalam Skim Pensijilan. Ini termasuk larangan penggunaan logo GMP pada label sekiranya persijilan terbatal.

FAEDAH SKIM PENSIJILAN GMP

  • Meningkatkan taraf industri makanan terutama industry kecil dan sederhana supaya mampu berdaya saing di peringkat global / antarabangsa melalui pengiktirafan yang diberikan.
  • Memudahkan industri mendapat pengiktirafan dalam berurusan dengan agensi kewangan dalam urusan insentif atau bantuan kewangan.
  • Memastikan industri mematuhi piawaian di peringkat domestik dan luar negara.
  • Meningkatkan pasaran dan keyakinan pengguna terhadap produk melalui penggunaan logo GMP pada label produk makanan.
  • Meningkatkan kredibiliti dan imej industri makanan.
  • Memberi kemudahan dalam mendapatkan Sijil Kesihatan sijil-sijil eksport yang lain.

Senarai syarikat yang memperolehi pensijilan GMP – klik disini  pdf


Garis panduan Skim Pensijilan GMP KKM boleh dilihat di menu [ Garis Panduan ] atau klik disini


Borang permohonan Skim Pensijilan GMP boleh dimuat turun di bahagian [ Borang ] atau klik disini

Modified: April 19, 2013 at 8:40 am