Lain-Lain Bahasa Soalan Lazim Borang Kepuasan Pelanggan

Isu Pencemaran Benzopyrene Dalam Produk Nongshim Ramen 

 

 

KENYATAAN AKHBAR

ISU PENCEMARAN BENZOPYRENE DALAM PRODUK NONGSHIM RAMEN

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media berhubung perkara di atas yang telah disiarkan melalui pelbagai media semenjak 25 Oktober 2012 dan KKM telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perkara tersebut pada 25 Oktober 2012.

Laporan tersebut memaklumkan bahawa enam (6) produk mee segera Shin Ramyun yang dikeluarkan oleh Kumpulan Nongshim mengandungi bahan penyebab kanser iaitu benzopyrene. Benzopyrene biasa ditemui dalam asap rokok, makanan yang dibakar, dipanggang atau disalai dan merupakan hasil sampingan dalam pelbagai industri pemprosesan.

KKM telah mengambil empat (4) sampel produk tersebut untuk diuji parameter benzopyrene dan keputusan menunjukkan bahawa benzopyrene dikesan dalam serbuk sup bagi tiga (3) daripada empat (4) sampel tersebut iaitu dalam julat di antara 2.1 µg/kg hingga 4.8 µg/kg.

Buat masa ini tiada negara yang menetapkan had untuk benzopyrene dalam serbuk sup. Walau bagaimanapun Kesatuan Eropah (EU), telah menetapkan had bagi benzopyrene di dalam produk makanan yang tertentu pada paras antara 1.0 µg/kg hingga 10.0 µg/kg mengikut kumpulan makanan tertentu.

Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, ia menunjukkan tiada risiko kesihatan akibat benzopyrene melalui pengambilan produk mee segera Shin ramyun tersebut. Tambahan pula, mee segera bukan makanan asasi negara ini.

KKM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung isu keselamatan dan kualiti makanan dengan menghantar maklumat sama ada melalui telefon, emel atau SMS. Maklumat pemberitahu akan dirahsiakan dan maklumat boleh disalurkan ke alamat seperti berikut:

 

 

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan
Kementerian Kesihatan Malaysia 
Aras 3, Blok E7, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya

Telefon

:

03-88833558

Emel

:

fsq-division@moh.gov.my

Laman web

:

http://fsq.moh.gov.my/4

SMS

:

012-6915473

 

 

 

 

 

 

 

 

DATUK DR. NOOR HISHAM B. ABDULLAH

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

b.p Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

 

20 November 2012.

Modified: April 12, 2013 at 4:00 am