Lain-Lain Bahasa Soalan Lazim Borang Kepuasan Pelanggan

FAQ: Pencemaran Bahan Radioaktif Dalam Makanan Yang Diimport Dari Jepun 

1. Apakah itu bahan radioaktif ?
 
Menurut Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984, “bahan radioaktif” ertinya apa-apa bahan api nuklear, hasil radioaktif atau sisa radioaktif.
 
2. Bagaimanakah makanan boleh tercemar dengan radioaktif ?
 
Pencemaran radioaktif boleh berlaku apabila debu atau cecair yang mengandungi bahan radioaktif termendap di tanah, air, makanan, kereta, peralatan malahan ke atas manusia.
 
Bahan mentah makanan seperti hasil pertanian, penternakan dan perikanan boleh dicemari oleh bahan radioaktif yang terdapat dalam persekitaran di sepanjang rantaian makanan. Makanan terproses pula boleh dicemari dengan bahan radioaktif melalui penggunaan bahan mentah tercemar dan air tercemar dalam pengeluaran makanan.
 
3. Apakah kesan pencemaran radioaktif dalam makanan pada kesihatan manusia ?
 
Kehadiran bahan radioaktif yang berlebihan boleh menyebabkan kanser dalam jangkamasa panjang. Kumpulan yang berisiko adalah seperti kanak-kanak, bayi, ibu mengandung, orang tua dan individu yang dikategorikan sebagai immunocompromised. Menurut Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) had dos yang selamat untuk orang awam adalah 1mSv setahun atau 0.5 μSv/jam.
 
4. Adakah makanan di import dari Jepun yang sedia ada di pasaran negara ini selamat ?
 
Ya, makanan yang diimport dari Jepun yang sedia ada di pasaran adalah selamat.
 
5. Apakah tindakan KKM memastikan makanan yang diimport dari negara Jepun adalah selamat susulan bencana nuklear di Jepun ?
 
Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia akan sentiasa memantau dalam memastikan keselamatan makanan yang diimport dari Jepun.
 
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan pemeriksaan tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan hasilan ikan serta hasilan ikan dan sebagainya yang diimport dari Jepun. Lanjutan dari itu bermula 15 April 2011 KKM akan mengenakan keperluan Sijil Radioaktif yang dikeluarkan oleh Competent Authority negara Jepun ke atas semua makanan yang diimport dari Jepun.
 
6. Apakah tindakan yang telah diambil oleh Negara lain terhadap pengimportan produk makanan dari Jepun ?
 
Kebanyakan negara menjalankan pemantauan ke atas produk makanan yang diimport dari Jepun terhadap bahan radioaktif.
 
7. Apakah nasihat kepada pengguna ?
 
Pengguna tidak perlu khuatir dengan makanan yang dijual di pasaran dan juga makanan yang diimport. KKM sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari semasa ke semasa termasuk produk makanan yang diimport dari negara Jepun.
 
8. Di manakah saya boleh mendapatkan status terkini atau maklumat berkaitan bahaya radioaktif yang tersebar ?
 
Maklumat terkini dan berkaitan boleh diperolehi dengan menghubungi talian 1800 88 7999 atau melayari laman web rasmi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) iaitu www.aelb.gov.my atau laman web Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, www.iaea.org.

 



Muat turun fail: Q&A: Pencemaran Radioaktif Dalam Makanan.pdf

Modified: April 15, 2013 at 3:36 am