Lain-Lain Bahasa Soalan Lazim Borang Kepuasan Pelanggan

Elemen-Elemen Perlu Bagi Dasar Keselamatan Makanan dan Kesimpulan 

Infrastruktur Keselamatan Makanan

  • Pengukuhan sistem keselamatan makanan memerlukan pembangunan kapasiti yang agak besar termasuk infrastruktur. Malangnya pembangunan dan pengukuhan infrastruktur di kalangan agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas keselamatan makanan kini berada di tahap yang berbeza-beza. Pembangunan kapasiti bagi keselamatan makanan memerlukan pengukuhan infrastruktur berterusan dan diorientasikan semula secara berkala, sejajar dengan kemunculan isu-isu baru berkaitan keselamatan makanan, perkembangan sains dan teknologi, pergolakan antarabangsa, perundangan dan krisis makanan.

Perundangan Keselamatan Makanan

  • Perundangan keselamatan makanan yang kukuh dan kemaskini di setiap peringkat rantaian makanan merupakan keperluan utama bagi mewujudkan sistem keselamatan makanan yang berkesan. Tanggungjawab bagi mewujudkan perundangan tersebut perlu dilakukan oleh sekumpulan pakar yang mahir dalam perundangan makanan dan keperluan standard makanan, dengan mengambil kira antara lain :-
  • Kehendak-kehendak khusus pengguna dan pengeluar makanan;
    • Fleksibiliti untuk menangani perkembangan bidang teknologi, kemunculan bencana, perubahan kehendak pengguna dan keperluan baru dalam perdagangan;
    • Mengharmonisasikan standard-standard makanan kebangsaan, garispanduan dan kod-kod amali dengan standard-standard antarabangsa sebagaimana yang diterimapakai oleh Codex Alimentarius Commission dan serantau bagi mempermudahkan perdagangan;
    • Lain-lain obligasi seperti di bawah Perjanjian WTO mengenai SPS dan TBT serta Asean Free Trade Area (AFTA); dan
    • Tabiat sosial, agama dan budaya.
  • Perhatian juga perlu ditumpukan kepada bahagian-bahagian kritikal di dalam rantaian makanan yang tidak dilindungi oleh undang-undang dan standard semasa.

Perkhidmatan Pemeriksaan Dan Penguatkuasaan 

  • Keberkesanan penguatkuasaan perundangan adalah bergantung kepada bilangan kakitangan yang mencukupi dan terlatih bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

Makmal Makanan

  • Bilangan makmal makanan yang mencukupi, lengkap dan dikendalikan oleh juruanalisis terlatih dengan menggunakan kaedah analisa yang diiktiraf diperlukan untuk menyokong aktiviti-aktiviti pengawasan, pematuhan dan penguatkuasaan. Kualiti perkhidmatan makmal perlu berteraskan sistem jaminan kualiti yang memenuhi standard antarabangsa. Kesesuaian mengoptimakan sumber yang terdapat di kalangan semua agensi berkaitan dipertimbangkan.

Teknologi Informasi Dan Komunikasi (ICT)

  • Pengurusan data yang sempurna diperlukan bagi perancangan, pelaksanaan dan pengawasan program keselamatan makanan. ICT sewajarnya digunapakai bagi mempermudahkan aliran maklumat dan jaringan kerja supaya lebih tepat, berkaitan dan pantas.

 Keselamatan Makanan Di Sepanjang Rantaian Makanan

  • Keselamatan makanan perlu ditumpukan di sepanjang rantaian makanan dari peringkat pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran, di mana setiap rangkaian dalam rantaian makanan perlu sama kukuh dengan yang lain sekiranya kesihatan pengguna hendak dilindungi sepenuhnya. Ini memerlukan kerjasama yang erat di antara semua agensi yang terlibat di sepanjang rantaian makanan, yang perlu dibekalkan dengan kuasa dan tanggungjawab yang jelas, mekanisma bagi kerjasama  dan cara-cara  untuk menangani cabaran semasa dan isu-isu baru. Sumber-sumber seperti tenaga manusia dan kewangan perlu diperuntukkan dan diselaraskan penggunaannya bagi mencapai hasil yang optima.

 Pengumpulan Maklumat Saintifik Dan Penganalisaan

  • Pengumpulan maklumat dan penganalisaan data saintifik adalah elemen penting khususnya bagi mengenalpasti dan menilai kemungkinan berlakunya sesuatu ancaman terhadap keselamatan makanan dan makanan ternakan.
  • Terdapat pelbagai kaedah dan petunjuk bagi mengenalpasti masalah berkaitan keselamatan makanan. Ini termasuk data pengawasan di sepanjang rantaian makanan, pemantauan penyakit, penyelidikan dan penyiasatan epidemiologi. Penganalisaan yang tepat akan memudahkan kajian evolusi ancaman sedia ada dan menjangka/mengenalpasti ancaman baru. Kesemuanya ini merupakan asas bagi langkah-langkah kawalan.
  • Langkah-langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan makanan perlu berasaskan prinsip saintifik, walaupun terdapat batasan bagi sains. Ini memandangkan sains dan pengetahuan terkini akan terus berkembang, manakala bukti saintifik yang diperlukan mungkin tidak diperolehi pada masa yang tertentu untuk menyokong langkah-langkah keselamatan makanan yang perlu diambil. Dalam keadaan ini, demi keselamatan makanan, langkah-langkah sementara yang sesuai dan berpatutan untuk satu jangkamasa yang munasabah perlu diambil sehingga maklumat saintifik yang mencukupi diperolehi. Oleh itu, pengurusan risiko (risk management) adalah tidak statik malahan ia sentiasa berevolusi bila mana terdapat data saintifik tambahan.
  • Perlu diingatkan walaupun langkah-langkah pencegahan awal (provisional measures) boleh menyebabkan halangan atau sekatan perdagangan secara sementara tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai satu perlindungan (protectionism). Malahan ia seharusnya merupakan satu langkah penguatkuasaan sementara untuk melindungi kesihatan pengguna dan langkah-langkah ini akan dikaji semula dengan terdapatnya data-data saintifik.
  • Maklumat saintifik yang menyakinkan merupakan tunggak utama bagi memastikan keselamatan makanan. Dengan itu, satu perancangan yang strategik perlu diperkukuhkan bagi mengumpul dan menganalisa maklumat saintifik mengenai keselamatan makanan di sepanjang rantaian makanan. Teknologi maklumat diutamakan bagi membolehkan aliran maklumat yang berkaitan, tepat dan pantas. Perancangan strategik yang dimaksudkan perlu merangkumi :-
    • Pengawasan Dan Pemantauan

Satu-satu program pengawasan dan pemantauan dapat menjanakan data yang tepat mengenai tahap dan trend pencemaran makanan sebagai asas bagi menggubal peraturan dan langkah-langkah pencegahan. Ia juga dapat memperkukuhkan kedudukan Malaysia di pasaran antarabangsa dengan menjamin keselamatan makanan yang diimport dan dieksport.

Pengawasan dan pemantauan keselamatan makanan kebangsaan perlu diperkukuhkan bagi mempermudahkan perkara-perkara berikut: –

      • Menentukan tahap pencemaran makanan kebangsaan  dan risikonya kepada kesihatan awam;
      • Mengenalpasti makanan dan makanan ternakan yang mungkin tercemar serta punca pencemaran tersebut;
      • Mengenalpasti keperluan kawalan pengeluaran dan pemprosesan di kalangan pihak yang berkepentingan serta memberikan panduan, sekiranya perlu;
      • Mendorong kerjasama antara agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam aspek kesihatan, pertanian, persekitaran dan perdagangan, termasuk pihak pekilang dan pemproses makanan;
      • Menyediakan data pengawasan dan pemantauan bagi menilai keberkesanan peraturan-peraturan yang sedia ada;
      • Mempertingkatkan kemasukkan ke pasaran antarabangsa dengan memastikan keselamatan makanan yang dieksport;
      • Menghalang kemasukkan makanan yang tidak selamat; dan
      • Menasihati badan-badan lain yang menjalankan pengawasan dan pemantauan makanan.
    • Penyelidikan

Isu dan masalah berkaitan keselamatan makanan semakin mencabar dan kompleks, di mana maklumat berasaskan sains terutama yang diperolehi melalui penyelidikan atau kajian merupakan komponen yang penting bagi menyokong pembentukan dasar keselamatan makanan.

Di peringkat antarabangsa, penghayatan sains khususnya dalam pembangunan standard makanan berasaskan fakta saintifik telah memberikan tekanan yang hebat kepada perdagangan makanan negara di pasaran antarabangsa.

Dalam konteks ini, pewujudan budaya penyelidikan dan persekitaran yang sesuai (conducive environment) perlu bagi meningkatkan kebolehan dan keupayaan dalam bidang penyelidikan. Program perlu dibentuk dengan mempunyai objektif menuju ke arah kecemerlangan saintifik (scientific excellence) dan menyumbangkan kepada asas-asas saintifik dalam penggubalan dasar, peraturan dan standard makanan. Ini memerlukan peruntukan kewangan, kepakaran dan sumber manusia yang mencukupi.

Agensi yang berkaitan perlu mengenalpasti bidang yang sama tetapi terdapat jurang pengetahuan bagi membolehkan kajian/penyelidikan dijalankan secara usahasama. Ini akan dapat mengurangkan pertindihan dan mengoptimakan sumber-sumber bagi manfaat bersama. Ia juga akan dapat membangunkan satu mekanisma dan rangka kerja yang tersusun dalam menggunakan kepakaran bagi menampung kelemahan yang terdapat dalam program keselamatan makanan sedia ada di kalangan pelbagai agensi. Ia juga dapat menggalakkan pembangunan keupayaan dan kebolehan secara komplimentari. Kajian perlu memberi penekanan ke atas kaedah yang lebih selamat bagi pengeluaran dan pengedaran, kaedah-kaedah baru penilaian pencemaran, risiko-risiko kimia serta pendedahan daripadanya.

    • Kerjasama Saintifik Dan Rangkaiankerja

Langkah pertama dalam menggembelingkan usaha-usaha saintifik adalah dengan mewujudkan saluran komunikasi yang jelas di antara agensi-agensi yang berminat dalam kerjasama saintifik dan bantuan teknikal. Hubungan ini boleh diwujudkan dalam bentuk mesyuarat yang kerap antara agensi berkaitan, menyediakan inventori bagi kerjasama saintifik atau bantuan teknikal yang diperlukan/diberikan, menyediakan satu senarai pakar dan pusat rujukan dalam pelbagai bidang, pengumpulan bahan-bahan rujukan dan sebagainya. Pewujudan dan penyelenggaraan pengkalan data akan membantu mengurangkan pertindihan dan duplikasi dalam kerjasama saintifik.

Selain daripada itu, penilaian keperluan perlu dilaksanakan bagi memberi maklumat mengenai keperluan tertentu bagi merangka satu pendekatan yang sejajar dan bersepadu mengikut keutamaan.

Pendekatan ini akan mempermudahkan penubuhan satu rangkaian pusat kecermelangan dan ini membolehkan Malaysia mendapatkan khidmat kepakaran saintifik terbaik dalam semua disiplin berkaitan, di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengesanan Produk (Product Tracing)

  • Pengesanan produk merupakan elemen penting bagi menjamin keselamatan makanan. Apabila terdapat ancaman daripada makanan yang boleh menggugat kesihatan awam, pegawai berkuasa perlu berupaya mengenalpasti makanan yang terlibat dan menarik balik produk terbabit dengan pantas. Pegawai berkuasa dan pengusaha makanan perlu mempunyai maklumat yang tepat untuk mengenalpasti punca ancaman berkenaan dan mengambil tindakan pembetulan.
  • Oleh itu pembentukan satu sistem yang menyeluruh diperlukan bagi mengesan produk makanan, makanan ternakan, haiwan ternakan, hasil tanaman, ikan dan lain-lain bahan yang akan digunakan dalam makanan atau makanan ternakan di semua peringkat rantaian makanan.
  • Pengusaha makanan dan makanan ternakan termasuk pengimport perlu mengenalpasti pembekal atau punca makanan, makanan ternakan, haiwan ternakan, hasil tanaman, ikan dan lain-lain bahan yang digunakan di dalam makanan. Maklumat ini akan menjamin pengesanan produk di semua peringkat rantaian makanan supaya penarikkan balik produk yang bermasalah dapat disegerakan. Melalui pendekatan yang mensasarkan produk yang berisiko ini, pendedahan risiko kepada pengguna, gangguan kepada perdagangan makanan dan impak ke atas ekonomi dapat dikurangkan.

Pengurusan Krisis Keselamatan Makanan

  • Walaupun pelbagai pemeriksaan dijalankan oleh agensi berkaitan, kejadian krisis keselamatan makanan masih boleh berlaku. Langkah berjaga-jaga yang perlu diambil merupakan pendekatan penting bagi meminimakan kemunculan bahaya berkaitan makanan. Bagi menghindarkan bahaya kepada pengguna, maklumat yang tepat dan cepat perlu diperolehi bagi membolehkan pihak berkuasa menilai risiko untuk melaksanakan langkah-langkah yang sesuai.
  • Mekanisma amaran pantas (rapid alert) yang seragam perlu diwujudkan dalam menjangka kemungkinan dan menangani ancaman risiko keselamatan makanan yang dikenalpasti oleh agensi berkenaan atau pihak swasta sebagai amaran awal dalam melindungi kesihatan pengguna.
  • Ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan pusat perhubungan bagi memperolehi dan menyebarkan maklumat secara pantas mengenai penolakkan, kejadian wabak atau amaran (alert) berkaitan makanan. Prosedur bagi pengurusan krisis makanan perlu diperkukuh bagi membolehkan usaha penyelarasan dipertingkatkan dan untuk mengenalpasti langkah paling berkesan yang boleh diambil berdasarkan maklumat saintifik.

Sistem Pengurusan Jaminan Keselamatan Makanan

  • Kerajaan perlu memain peranan utama dalam menerajui pelaksanaan program jaminan keselamatan makanan. Ini termasuk penyediaan keperluan latihan di lapangan untuk memberi khidmat nasihat kepada sektor makanan serta menggalakkan perkongsian dan kerjasama dengan kumpulan yang berminat.
  • Sektor makanan di semua peringkat pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan penjualan perlu disedarkan bahawa mereka bertanggungjawab bagi pengendalian makanan yang selamat dan dengan itu perlu mewujudkan program jaminan keselamatan makanan yang berkesan.
  • Sektor makanan perlu komited untuk menyediakan sumber dan latihan yang mencukupi sebagai komponen penting untuk menyokong keselamatan makanan. Sistem jaminan keselamatan makanan perlu memberi penekanan kepada amalan pertanian yang baik (GAP), amalan penternakan haiwan yang baik (GAHP), amalan pekilangan yang baik (GMP), amalan aquakultur yang baik (GAqP) dan melaksanakan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP).
  • Bagi kerajaan memainkan peranan ini dengan sempurna, latihan yang selari diperlukan bagi pegawai-pegawai kerajaan yang akan menjalankan pemeriksaan dan pengauditan sistem tersebut.
  • Garispanduan perlu diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman yang sama mengenai sistem berkenaan. Ini termasuk garispanduan amalan pertanian yang baik, yang merangkumi pemilihan tapak yang bersesuaian, pewujudan kawalan amalan pengeluaran, penggunaan racun perosak dan dadah veterinar di peringkat ladang, dan pencegahan pencemaran hasil pertanian dan ikan melalui air atau alam sekitar.  

Pendidikan Keselamatan Makanan

  • Program pendidikan keselamatan makanan merupakan aspek yang kritikal dalam membentuk strategi bagi mencegah atau mengurangkan kejadian penyakit bawaan makanan. Kerjasama antara pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan termasuk persatuan pengguna amat penting dalam menjayakan sesuatu program.
  • Melalui usahasama ini, mesej-mesej utama pendidikan kesihatan dapat dimantapkan untuk meningkatkan lagi keberkesanan kempen-kempen berkenaan di mana penghebahan mesej yang bertepatan dan bersesuaian dapat dimanfaatkan oleh pengguna. Kerjasama dalam pendidikan perlu memberi penekanan pada komponen-komponen berikut:
    • Perkongsian maklumat

Tanggungjawab bagi mendidik orang ramai mengenai keselamatan makanan dan penyakit bawaan makanan perlu dipikul oleh semua agensi berkaitan. Dengan itu, usahasama perlu diwujudkan termasuk membentuk inisiatif bersama dan pengkongsian maklumat.

    •  Mesej yang konsisten

Penyampaian mesej daripada pelbagai agensi kepada orang ramai perlu selaras dan konsisten bagi mengelakkan kekeliruan.

    •  Berasaskan penyelidikan

Pendekatan pendidikan perlu berasaskan kajian mengenai persepsi dan tingkahlaku orang ramai.

    • Pengguna berisiko  tinggi sebagai sasaran

Sains telah menunjukkan bahawa terdapat sesetengah pengguna yang boleh mengalami penyakit bawaan makanan dengan lebih serius. Oleh itu, program pendidikan yang diusahakan perlu memberi tumpuan khas kepada pengguna yang berisiko tinggi.

    • Kerjasama dengan pihak media

Menyedari bahawa suratkhabar, radio dan televisyen merupakan di antara alat pendidikan yang berkesan, kerjasama dengan pihak media merupakan strategi penting bagi memastikan pihak media mempunyai maklumat yang tepat di samping menggalakkan wakil-wakil media untuk menyampaikan mesej-mesej kesihatan.

    • Pendidikan dan latihan

Usaha-usaha pendidikan dan latihan perlu ditujukan bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga kepada pihak yang bersesuaian termasuk pengendali makanan, ahli-ahli profesional kesihatan, ahli-ahli politik, pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan, guru-guru dan lain-lain.

    • Pendidikan dari peringkat awal

Bagi mendapatkan impak berkekalan dalam inisiatif keselamatan makanan, subjek-subjek mengenai keselamatan makanan perlu diberi penekanan bermula dari rumah dan diterapkan ke dalam kurikulum sekolah, taman bimbingan dan lain-lain. 

  • Berasaskan komponen-komponen di atas, program pendidikan perlu disokong dengan:-
    • Kempen-kempen kesedaran keselamatan makanan yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat dengan maklumat yang disesuaikan, saluran perhubungan dan pendekatan yang disesuaikan mengikut sasaran yang berbeza terutama kepada pengguna yang berisiko tinggi melalui media penyiaran, dalam pelbagai bahasa bagi memastikan liputan yang meluas.
    • Penyediaan bahan-bahan pendidikan keselamatan makanan yang berkesan bagi memenuhi keperluan kumpulan sasaran yang berbeza dari segi budaya, bahasa, cara makan serta cara penyediaan makanan.

Keselamatan Makanan Import dan Eksport

Makanan Import

  • Dengan peningkatan pengimportan makanan, strategi dalam kawalan makanan import perlu diperkukuhkan.
    • Pengimportan makanan daripada syarikat yang dikenalpasti mematuhi peraturan-peraturan negara dibenarkan.
    • Penyertaan sijil kesihatan dan keputusan ujian daripada pihak berkuasa yang berwibawa dari negara pengeksport mengikut keadaan tertentu diperlukan.
    • Pemantauan melalui pensampelan dan ujian bagi makanan import di pintu-pintu masuk dipertingkatkan.
    • Penggunaan IT dalam penguatkuasaan dimantapkan.
    • Standard tempatan diharmonisasikan dengan standard antarabangsa seperti Codex bagi mempermudahkan pengimportan

Makanan Eksport

  • Malaysia merupakan negara pengeksport utama makanan, sedang berhasrat untuk menjadi pusat makanan halal (Halal Food Hub). Bagi mencapai objektif tersebut dan untuk berhadapan dengan persaingan yang semakin hebat di kalangan negara-negara pengeksport lain dan juga untuk memaksimakan pertukaran asing, Malaysia perlu memastikan produk yang dieksport menepati standard keselamatan negara pengimport atau menjadikan standard Codex sebagai rujukan. 
  • Penyelarasan di antara pegawai berkuasa yang berkaitan diperlukan untuk memastikan proses kelulusan, termasuk pengeluaran sijil kepada pengeksport, dilakukan dengan cara yang pantas dan telus bagi mempermudahkan pengeksportan makanan.
  • Pengalaman telah menunjukkan penolakkan atau penahanan eksport makanan boleh menjejaskan ekonomi negara dan reputasi kerajaan/industri. Maklumat mengenai makanan yang telah ditahan atau ditolak di pintu masuk perlu diperolehi sebanyak mana yang boleh untuk memudahkan agensi yang bertanggungjawab mengambil tindakan susulan yang pantas serta bagi memulihkan perdagangan.
  • Pemahaman yang mendalam di kalangan pengeksport mengenai langkah-langkah dan peraturan-peraturan mengenai keselamatan makanan yang dikuatkuasakan di negara pengimport akan diperlukan bagi melicinkan perdagangan.
  • Agensi berkaitan perlu mewujudkan persetujuan pelbagai hala bagi memudahkan perdagangan.

 Makanan Novel Dan Makanan Yang Terhasil Dari Teknologi Moden

  • Innovasi daripada teknologi-teknologi baru digalakkan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan, seperti kejuruteraan genetik (genetic engineering), irradiasi makanan dan pembungkusan atmosfera diubahsuai; dicipta bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, memanjangkan tempoh hayat serta meningkatkan kualiti makanan. Namun demikian keselamatan bagi makanan yang dihasilkan melalui teknologi moden masih boleh dipertikaikan.
  •  Sementara itu, perkembangan dan percambahan ilmu pengetahuan yang berhubungkait dengan diet, pemakanan dan kesan jangka panjang makanan ke atas kesihatan telah mempengaruhi pengguna dalam membuat pemilihan makanan.  Dengan itu, peluang ini dieksploitasikan oleh pengeluar makanan untuk mencipta produk baru dan mempromosikannya mengikut citarasa dan kecenderungan pengguna seperti mengadakan akuan pemakanan, akuan kesihatan dan mencipta food-drug interphase.
  • Menyedari hakikat ini, satu rangkakerja perlu dibentuk bagi:
    • Mewujudkan dasar dan panduan bagi pengeluaran makanan novel dan yang terhasil daripada teknologi baru; dan
    • Menilai kesan teknologi baru terhadap keselamatan makanan

Penglibatan Di Arena Antarabangsa

  • Sebagai ahli WTO, negara perlu memenuhi perjanjian WTO terutama SPS dan TBT dimana standard Codex dan teks-teks yang berkaitan merupakan penanda aras bagi perdagangan makanan antarabangsa. Penglibatan dalam arena Codex merupakan satu cabaran kepada negara kerana ia memerlukan kepakaran, kewangan yang besar dan komitmen yang jitu.
  • Bagi melindungi kepentingan negara, pencapaian kata sepakat di arena antarabangsa di kalangan negara ahli khususnya bagi rantau ini ke atas isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama perlu diusahakan. Ini akan memastikan kepentingan negara diambilkira dalam pembangunan standard sejagat tanpa mewujudkan halangan yang tidak munasabah atau bersifat diskriminasi kepada eksport makanan negara.
  • Semua agensi berkaitan perlu mempertingkatkan penglibatan dalam aktiviti badan-badan antarabangsa seperti Codex, WTO yang bertanggungjawab untuk membangunkan standard, garispanduan dan cadangan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan sejagat.
  • Kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang ada di Malaysia seharusnya diperluaskan dalam bentuk sumbangan kepada negara-negara membangun. Ini akan menaikkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan bagi keselamatan makanan di rantau ini.
  1. KESIMPULAN 
  1. Pelaksanaan dasar keselamatan makanan kebangsaan akan membolehkan inisiatif–inisiatif untuk mencapai keselamatan makanan dirancang dan diurus dengan cara yang lebih mampan, bersepadu, dan berkesan bagi menjamin kesihatan awam dan memudahkan perdagangan makanan.
  2. Kejayaan pelaksanaan dasar keselamatan makanan kebangsaan amat bergantung kepada penggembelingan tenaga, komitmen, kerjasama dan usahasama yang jitu di kalangan semua pihak yang berkepentingan (stakeholders). Perhubungan antara agensi perlu diwujudkan bagi mencapai manfaat bersama untuk mengelakkan jurang perbezaan penguatkuasaan, perbatasan dan kelemahan-kelemahan. Pembentukkan perikatan strategik atau perkongsian pintar akan memastikan kejayaan semua pihak melalui pengoptimaan sumber serta penyelarasan program keselamatan makanan yang lebih berkesan.

Modified: April 5, 2013 at 2:08 am