Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan berhubung minyak masak terpakai di pasaran yang disiarkan oleh Sin Chew Daily pada 7 dan 8 Mac 2012. Laporan tersebut menyatakan bahawa sebahagian besar minyak yang digunakan untuk memasak di dalam industri makanan berpunca daripada minyak masak terpakai yang telah diproses semula. Di samping itu, laporan itu turut menyentuh isu minyak masak yang digunakan berulangkali oleh premis makanan segera.
KKM telah dan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan minyak masak terpakai yang telah diproses untuk dijual semula. Hasil siasatan awal yang telah dijalankan oleh KKM mendapati bahawa minyak masak terpakai yang dipungut daripada salah satu rangkaian premis makanan segera terbesar di negara ini dieksport ke luar negara untuk diproses menjadi biodiesel. Selain itu, hasil siasatan KKM juga mendapati terdapat minyak masak terpakai yang dikumpul untuk dijadikan bahan bagi membuat sabun. Walau bagaimanapun, KKM masih menjalankan siasatan lanjut terhadap beberapa syarikat pemungut minyak terpakai yang lain untuk memastikan minyak masak yang dipakai tidak disalah guna bagi tujuan jualan semula sebagai minyak masak.
KKM juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 22 buah kilang memproses minyak masak di tujuh (7) buah negeri yang dikatakan memproses minyak masak terpakai. Hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa tiada bukti semua kilang tersebut terlibat dalam pemprosesan minyak masak terpakai.
KKM ingin menegaskan bahawa pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula adalah tidak dibenarkan. Mana-mana orang mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula yang boleh memudaratkan kesihatan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi tempoh 10 tahun atau kedua-duanya.
KKM mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula agar menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau terus kepada melalui telefon 03-88833558 atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my. Sebaik-baiknya, maklumat tersebut hendaklah menyertakan alamat premis yang terlibat.
Berkenaan isu minyak masak yang digunakan berulang kali oleh premis makanan segera, KKM telah menjalankan kajian terhadap kesan penggorengan makanan berulang kali ke atas kandungan Total Polar Compound (TPC) di dalam minyak masak di mana TPC adalah indikator kualiti bagi mengukur tahap degradasi (kerosakan) minyak masak yang digunakan semasa menggoreng dan ia tidak menjejaskan kesihatan manusia. Tahap maksimum TPC yang disarankan di mana sesuatu minyak masak perlu dibuang adalah 25% iaitu sama seperti yang ditetapkan oleh kebanyakan negara di Kesatuan Eropah. Kajian oleh KKM menunjukkan bahawa selepas 40 kali penggorengan, kandungan TPC masih berada di bawah tahap maksimum yang disarankan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan panduan penggunaan minyak masak berulangkali boleh berbuat demikian dengan melayari laman web BKKM.DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia
9 Mac 2012
